Jogjakarta merupakan salah satu kota yang wajib dikunjungi buat anda yang ingin berkunjung ke Indonesia. Pelbagai tarikan yang menarik dalam kota Jogjakarta itu sendiri yang mana membuatkan para pelancong tak rasa jemu untuk datang lagi dan lagi apabila menjejakkan kaki ke Indonesia. Antara yang menarik perhatian pengunjung adalah berkunjung ke pantai sekitar kota ini, museum, tempat-tempat makan, bangunan bersejarah dan banyak lagi. Tetapi apa yang menarik kali ini, saya akan bawa anda terutama wanita untuk kenal 10 port membeli belah yang menarik di Jogja !
1. PASAR BERINGHARJO
Pasar Beringharjo merupakan salah satu pasar tertua di kawasan Jogjakarta, Indonesia. Pasar ini telah menjadi tempat perdagangan yang berterusan mencecah ratusan tahun sejak tahun 1758 hinggalah ke hari ini. Banyak habuan yang akan anda bawa pulang apabila berkunjung ke Pasar Beringhario ini. Bagi penggemar atau yang suka mengumpul koleksi batik, pasar ini adalah pilihan terbaik ! Di sini anda boleh memilih pelbagai jenis koleksi batik samada kain, siap jahit menjadi pakaian dan sebagainya, semuanya asli dari Indonesia. Lebih menarik lagi pasar ini tidak terhad dengan pakaian sahaja, bahkan terdapat pelbagai jenis barang antik dan beberapa jenis makanan yang dapat anda bawa pulang sebagai cenderahati buat yang tersayang.
2. MALIOBORO
Tempat yang diberi nama Malioboro ini mempunyai ciri keunikan yang khas. Tempat ini menjadi kegemaran para pengunjung yang suka menghirup udara di malam hari. Kerana di malam hari, suasana jalanan Malioboro akan bertukar dengan cahaya hiasan lampu-lampu yang indah dan romantic yang mana anda dapat meluangkan masa bersama pasangan atau seisi keluarga untuk berjalan-jalan di sekitar jalan ini. Selain itu, Malioboro juga memiliki daya tarik tersendiri untuk makanannya. Jadi jangan lepaskan peluang untuk merasainya !
3. SAKOLA
Diberi jolokan ‘Surga buat wanita’ , Sakola ini sering diserbu para wanita kerana pusat membeli belah satu ini menawarkan pelbagai variasi pakaian yang menjanjikan harga yang amat murah dan tidak masuk akal. Tempat ini memang wajib untuk dikunjungi apabila anda berpeluang ke Jogja. Tak hanya pakaian, Sakola juga berjaya menawan para pengunjung dengan menawarkan pelbagai pilihan kasut, bag tangan, aksesori-aksesori dan banyak lagi, yang penting semuanya up-to-date !
4. MIROTA KAMPUS
Mirota Kampus ini merupakan tempat berbelanja yang agak moden yang mana lengkap menyediakan pelbagai kelengkapan dan keperluan sehari-hari seperti makanan, sayur-sayuran, buah-buahan dan pelbagai lagi barang yang anda boleh dapatkan. Tak jauh beza seperti mall di Malaysia, setiap tingkat di sini ada bermacam tarikannya tersendiri. Harga yang ditawarkan dir Mirota Kampus ini juga amat berbaloi dan pastinya lebih murah.
5. RAJA MURAH
Nampak sahaja perkataan murah pastilah hampir semua dari kita akan teruja. Para pengunjung yang inginkan kelainan untuk dibawa pulang sebagai cenderamata bolehlah mengunjungi Raja Murah di Jogja ini. Pelbagai jenis barangan murah seperti tudung, busana muslim, sejadah, dan mukena . Kain telekung atau lebih sinonim dipanggil mukena di Indonesia selalunya tidak sama seperti di Malaysia dari segi kain dan design. Jadi, jika anda mahu ada sekurang-kurangnya satu koleksi mukena khas dari jogja, inilah peluangnya untuk dapatkan mukena yang unik dengan harga yang jauh lebih murah !
6. PROGO SWALAYAN
Tempat ini pasti akan menjadi tumpuan buat ibu-ibu kita ! Mana tidaknya, Progo Swalayan di Jogjakarta yang menjual aneka perkakas dapur seperti pinggan mangkuk, peralatan di dapur akan membuatkan mata para ibu menjadi rambang . Pusat belanja ini bukan sahaja menarik perhatian para pengunjung yang baru, bahkan sentiasa dipenuhi dengan peminat perkakas dapur warga sekitarnya.
7. PASAR SENI GABUSAN
Pasar Seni Gabusan ini dibangunkan dan dikembangkan bertujuan untuk mengembangkan hasil penjualan dan bakat penduduk sekitar dalam bidang seni kraf seperti rotan,kayu dan sebagainya. Pusat jualan ini bukan sahaja sesuai dan akan membuat para pencinta seni jatuh cinta, bahkan amatlah sesuai untuk diborong lalu dijadikan ole-ole buat yang tersayang. Percayalah, hasil tangan memang tidak akan pernah mengecewakan anda !
8. PASAR KASONGAN
Jogjakarta memang takkan terlepas dari jolokan tempat paling digemari oleh para pelancong dek kerana ciri-ciri khas yang mereka tampilkan pada setiap tempat atau desa tak pernah mengecewakan sama sekali ! Kali ini, anda akan dibawa ke satu desa yang dinamakan Kasongan. Kasongan ini adalah satu desa di Jogja yang amat mengetengahkan budaya yagn ada di Indonesia. Di sini, para penduduk sangat bergiat aktif dalam menghasilkan perkakas dapur dari tanah liat. Bermacam-macam bentuk dan ukiran menarik yang dihasilkan yang akan membuatkan para pengunjung tidak berfikir panjang untuk memilikinya.
9. JOLIE
Hasil kraf sudah, perkakas dapur sudah, pakaian pun sudah. Pusat membeli belah selanjutnya diberi nama Jolie. Jolie merupakan singkatan dari kata Jogja jewelery. Apa yang ada pada gedung Jolie ini? Jolie merupakan pusat belanja aksesori terbesar dan terlengkap di kota Jogjakarta. Di sini tidak hanya menjual pelbagai macam aksesori yang sudah ready made , malah di sini juga membekalkan bahan-bahan untuk penghasilan aksesori buat para peniaga di luar sana. Kemudian mereka akan menghasilkan aksesori untuk diperdagangkan. Menarik dan unik bukan tempat ini ? Pokoknya pasti menjadi kegemaran para wanita !
10. PASAR SUNMOR UGM
Pasar Sunmor diambil dari perkataan Sunday Morning kerana pasar ini beroperasi hujung minggu pagi. Pasar yang bertempat di Universitas Gadjah Mada (UGM) ini amat meriah sekali dengan pengunjung dari semua lapisan umur tidak kira lelaki atau perempuan. Di pasar ini juga terkenal dengan pelbagai barangan bundle yang mungkin dapat buat anda tertarik untuk mengunjunginya lagi dan lagi. Juga, para pedagang lain juga ada yang menjual makanan, minuman, dan banyak lagi. Yang penting harga yang mereka tawarkan untuk setiap barang adalah tak terjangkau murahnya !
Kalau anda tengah mencari info mengenai Jogjakarta, boleh juga baca di sini !
Sekiranya anda seorang yang suka meneroka pelbagai tempat untuk bercuti, boleh baca pelbagai artikel kami yang menarik di sini .
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!