“It’s a big world out there. Go explore.”
Suatu kata-kata yang menarik saya jumpa di Google. Dunia ini besar dan sangat luas, banyak lagi perkara yang kita belum tahu dan masih belum dibongkar. Begitu juga dengan makanan eksotik, masih ramai yang tidak tahu tentang kewujudan makanan eksotik ini di Malaysia dan tidak pernah cuba malah takut untuk makan makanan eksotik ini.
Sebelum ini sudah dibahaskan tentang makanan menarik di Langkawi, maka dengan itu saya ingin menerokai dunia yang unik ini dengan menulis artikel di ruangan ini berdasarkan pengalaman sendiri dan juga melalui maklumat yang ada di internet.
Pertama sekali, apa itu makanan eksotik?
Menurut website Educalingo, definisi eksotik mengikut bahasa dalam kamus Melayu mempunyai dua maksud iaitu yang pertama, berasal dari luar negeri. Maksud yang kedua ialah, luar biasa keistimewaannya. Manakala, berdasarkan Fred Flanders di dalam artikel nya di Classroom Synonym,
“Exotic food is food that a person finds stranger and/or unfamiliar”.
Ini bermakna makanan eksotik adalah makanan yang pelik atau orang ramai melihatnya sebagai makanan yang tidak biasa dijumpai atau dikenali. Ia boleh jadi dalam keadaan yang tidak normal atau tidak biasa sama ada dari segi penampilan atau cara pembuatannya.
Untuk pengetahuan semua, sebenarnya terdapat banyak makanan eksotik yang ada di negara kita ini. Berdasarkan pengalaman dan carian maklumat saya di Google, ada satu kedai makan yang sangat dikenali dengan makanan eksotik. Saya dan keluarga juga pernah makan di kedai tersebut. Kedai makan itu ialah:
Restoran Lembah Bernam di Sekinchan, Selangor.

Restoran Lembah Bernam (Sumber: Denai.My)

Temu Ramah Bersama pemilik Restoran Lembah Bernam (Sumber: makanandiselangor.blogspot)
Restoran ini dibuka setiap hari kecuali hari jumaat dan dari pukul 11 pagi hingga pukul 5 petang. Ramai pengunjung yang datang kesini bertujuan ingin mencuba pelbagai makanan eksotik dan selalunya datang secara berkumpulan.
Juga, ramai yang datang ketika waktu makan tengahari kerana restoran ini menyediakan nasi berlauk yang bersesuaian dengan makanan tengahari rakyat Malaysia.

Pelbagai lauk pauk di Restoran Lembah Bernam (Sumber: ayudenira.blogspot.com)

Pelbagai lauk pauk di Restoran Lembah Bernam (Sumber: ayudenira.blogspot.com)

Ulam ulaman di Restoran Lembah Bernam (Sumber: ayudenira.blogspot.com)
Banyak makanan eksotik yang dijual di restoran ini dan yang paling dikenali ialah landak, daging rusa, pelanduk dan belut. Makanan-makanan ini dijual dalam bentuk lauk dan pengunjung boleh pilih ingin lauk masak sambal atau goreng atau masak kicap dan lain-lain.
Bagi masakan kampung yang lain pula, terdapat hidangan ikan baung, ikan tapah, ikan sepat, ikan puyu, udang galah dan ulam ulaman.
1. Landak
Landak merupakan suatu haiwan mamalia yang unik. Secara amnya, landak mempunyai bulu keras yang meliputi bahagian atas badan mereka dan seperti yang ramai tahu, landak mempunyai duri di permukaan badannya.
Landak adalah salah satu lauk yang disediakan oleh Restoran Lembah Bernam di Sekinchan. Lauk landak yang disediakan di restoran tersebut ialah seperti di dalam gambar.

Rendang Daging Landak (sumber: ayudenira.blogspot.com)
Seperti di dalam gambar, rendang daging landak ialah makanan nombor 1 yang disukai oleh pengunjung yang makan di restoran tersebut. Harga landak ini mengikut pasaran dan harganya ialah RM24/200 gram.
Ramai yang mengatakan bahawa daging landak memang sedap dan rasa dagingnya seperti daging lembu sahaja cuma landak mempunyai tulang yang kecil. Mereka juga mengatakan daging landak tiada bau.
Selain itu, menurut pengalaman saya dan keluarga kami sedikit kesal kerana kami tidak dapat mencuba daging landak tersebut. Ini kerana pihak restoran telah membuat plan atau strategi baharu iaitu sesiapa yang ingin makan daging landak perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum datang ke kedai.
Hal ini mungkin supaya tidak akan ada pembaziran yang berlaku jika tidak ramai pengunjung yang datang. Jadinya, nasihat untuk pengunjung seterusnya, anda hendaklah telefon pihak restoran dan membuat tempahan terlebih dahulu untuk makan daging landak ini.
2. Daging Rusa
Lauk daging rusa juga ialah salah satu makanan eksotik.
Kebiasaannya rakyat Malaysia makan daging ayam ataupun daging lembu Ketika hari raya korban, tetapi restoran Lembah Berna mini mempunyai daging rusa sebagai lauk untuk pengunjungnya.
Sama seperti lauk landak, ia tersedia dalam beberapa jenis masakan; masak cili berlada, masak kicap dan lain-lain. Harga untuk daging rusa di restoran ini ialah RM 16/200 gram.
Menurut Ayudenira, rasa daging rusa sedikit liat dan agak berbau. Bagi pendapat saya juga daging rusa ini sedikit liat berbanding dengan daging lembu. Lauk seperti di dalam gambar.

Daging rusa masak cili berlada

Daging rusa liar masak cili api (Sumber: ayudenira.blogsot)

Daging rusa masak kicap (Sumber: ayudenira.blogspot)
3. Pelanduk
Pelanduk adalah suatu haiwan yang berjari genap dalam keluarga Tragulidae yang dikenal sebagai kancil (Wikipidea). Bentuknya seperti kancil yang bersaiz kecil.
Restoran Lembah Bernam ini juga ada menyediakan lauk daging pelanduk.Masakan lauk daging pelanduk juga sama seperti lauk daging landak dan daging rusa serta ia juga ada tambahan masakan iaitu masak kari.Harga untuk daging pelanduk ini ialah RM 24/200 gram.
Malangnya, saya dan keluarga tidak berpengalaman memakan daging pelanduk ini kerana perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mengunjungi ke restoran ini.

Daging pelanduk masak kari (Sumber: ayudenira.blogspot)

Daging pelanduk masak berlada (Sumber: Denai.My)
4. Belut
Makanan eksotik seterusnya ialah belut. Belut merupakan sejenis order ikan yang mempunyai badan panjang tanpa anggota tangan atau kaki. Bentuk belut ini seperti ular tetapi ia boleh dimakan.
Restoran Lembah Bernam ini juga ada membuat lauk belut. Saya dan keluarga sempat mencuba dan makan lauk belut masak cili berlada ketika mengunjungi restoran ini. Rasanya sedap dan rasa sama seperti ikan sahaja.

Belut masak cili berlada

Nasi dan lauk belut masak cili berlada
Selain itu, saya dan keluarga juga banyak pengalaman makan belut, hal ini kerana kami sentiasa pulang ke kampung halaman di Kelantan. Banyak restoran di Kelantan menyediakan belut sebagai hidangan seperti maggi belut dan sup belut. Kampung halaman saya berdekatan dengan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu.
Jadi, setiap kali pulang kami akan pergi dan bersantai sambil makan di PCB. Menu maggi belut sentiasa menjadi keutamaan saya kerana kesedapannya.
Cuma, saya tidak menjumpai gambar sebagai bukti pengalaman kami. Jadi, saya akan tunjukkan gambar maggi belut daripada sumber yang dinyatakan:

Maggi belut Pasir Tumboh (Sumber: FourSquare)

Maggi belut tomyam (Sumber: MummyMikael.blogspot)

Sup belut (Sumber: Zarazyacooks.com)
Walau bagaimanapun, saya tidak pernah mencuba sup belut sebelum ini.
Lebih daripada ini, rupanya terdapat banyak khasiat belut ini berdasarkan artikel yang ditulis oleh Nurul Nazihah. Antara khasiat belut ialah ia merupakan sumber protein yang bagus yang diperlukan oleh badan iaitu setiap 100g belut terdapat kira-kira 18.4g protein.
Selain itu, belut juga dapat menurunkan kadar lemak dan paras gula dalam badan. Ia juga mengurangkan penyakit kardiovaskular dan menyembuhkan luka.
Semua khasiat yang disebutkan ini telah terbukti dengan kajian yang dijalankan ke atas tikus makmal. Jadi, ini menunjukkan belut mempunyai banyak kebaikan dan sesuai dijadikan sebagai makanan diet.
5. Belangkas
Menurut Wikipedia, belangkas ialah sejenis haiwan yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar dan ia mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit.
Belangkas juga adalah makanan eksotik yang ada di Malaysia. Bagi pendapat saya, ia adalah makanan yang paling eksotik saya pernah rasai dan ia sangat unik.
Saya dan kakak mempunyai pengalaman mencuba dan makan belangkas bakar di Restoran Faridah Mentarang Bakar Sekinchan, Selangor. Kami ingin mencuba kerana ingin tahu bagaimana rasanya. Saiznya sebesar tapak tangan orang dewasa.
Setelah mencuba, kami menyimpulkan bahawa belangkas ini tidak mempunyai banyak isi didalamnya dan rasanya sedikit tawar. Gambar di bawah menunjukkan belangkas bakar yang kami makan.
Restoran Faridah Mentarang Bakar Sekinchan

Belangkas bakar di Restoran Faridah Mentarang Bakar Sekinchan

Isi di dalam belangkas bakar di Restoran Faridah Mentarang Bakar Sekinchan
6. Mentarang
Siput mentarang merupakan sejenis haiwan bercengkerang (kerang-kerangan) yang boleh dimakan dan mempunyai kulit yang nipis dan biasanya lebih menggemari air yang mempunyai suhu rendah (Wikipedia).
Ramai yang tidak tahu kewujudan siput mentarang ini, termasuklah saya. Saya mengetahui tentangnya hanya selepas pergi ke restoran yang sama seperti belangkas bakar di atas iaitu di Restoran Faridah Mentarang Bakar Sekinchan.
Mentarang ini bentuknya sama seperti lala, hanya beza sedikit sahaja. Saya dan kakak mencuba mentarang bakar dan mentarang celup tepung di restoran tersebut. Bagi kami, rasanya sangat sedap tetapi sedikit masin dan mentarang celup tepungnya kurang memuaskan.

Mentarang bakar & mentarang celup tepung di Restoran Faridah Mentarang Bakar Sekinchan

Mentarang bakar di Restoran Faridah Mentarang Bakar Sekinchan
Jadi, kami pergi ke restoran seterusnya iaitu, Restoran Mentarang Fresh di kawasan yang berdekatan. Mentarang celup tepung yang dihidangkan sangat sedap dan mentarang bakar nya lebih bersih jika dibandingkan dengan di restoran Faridah. Gambar seperti di bawah:
Restoran Mentarang Fresh

Mentarang bakar di Restoran Mentarang Fresh

Mentarang celup tepung di Restoran Mentarang Fresh
7. Tiram
Makanan eksotik yang terakhir dibahaskan di artikel ini adalah tiram.
Pendapat saya mengatakan tiram ialah makanan eksotik yang paling sedap antara semua makanan eksotik yang diceritakan. Hal ini kerana, saya dan keluarga sering mengunjungi ke suatu restoran tiram yang terletak di Bachok, Kelantan iaitu
Maggi Tiram Pokweil
Restoran ini hanya menyediakan menu yang berkaitan dengan tiram sahaja, seperti maggi tiram, maggi goreng tiram, nasi goreng tiram, tiram segar, tiram cheese dan banyak lagi.
Rasanya yang sangat sedap menjadikan ianya makanan kegemaran keluarga kami. Restoran ini wajib kami datang setiap kali pulang ke Kelantan.

Maggi goreng tiram di Maggi Tiram Pokweil

Tiram goreng kunyit di Maggi Tiram Pokweil

Tiram segar dan tiram lemon di Maggi Tiram Pokweil

Tiram cheese di Maggi Tiram Pokweil

Tiram Cheese di Maggi Tiram Pokweil
Kesimpulannya ialah, masih ramai rakyat Malaysia yang tidak tahu kewujudan dan keunikan makanan-makanan eksotik. Jadinya, saya menyeru kepada semua masyarakat supaya tidak takut mencuba untuk makan makanan-makanan eksotik ini untuk dikenang sebagai pengalaman yang menarik dan unik.
Kalau ada rezeki lebih, boleh la makan makanan ekzotik ni. Saya memang penggemar makanan seperti ini.😉👽🛸👍