Percutian bajet untuk menikmati musim sejuk di Malaysia! Ya semestinya lokasi yang dituju adalah Cameron Highlands.
Anda dapat menikmati udara sejuk yang segar, pemandangan hijau yang menyejukkan mata serta pelbagai jenis makanan yang sukar didapati di tempat bersuhu tinggi seperti buah strawberi.
Cameron Highlands menjadi salah satu destinasi pelancongan yang popular di Malaysia. Di sini kami kongsikan beberapa tempat menarik yang mesti anda singgah sekiranya datang bercuti di Cameron Highlands.
Bagi anda yang belum pernah menjejakkan kaki ke Cameron Highlands, kini anda sudah boleh mula melakukan perancangan percutian menarik di Cameron Highlands.
Tempat Menarik di Cameron Highlands
#1 Taman Agroteknologi Mardi
Taman Agroteknologi Mardi yang juga terkenal sebagai Little Cameron ialah salah satu tempat menarik di Cameron Highland yang mesti dilawati. Kawasan seluas 42 hektar ini mempunyai segalanya.
Anda boleh melawat ladang teh, taman-taman bunga, ladang strawberi dan bermacam-macam lagi. Memang puas menjamu mata dan bergambar. Harga tiket RM5 dikenakan untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.
#2 Pasar Malam Cameron Highland
Tarikan pasar malam ini ialah harga barangan yang dijual lebih murah berbanding tempat lain di Cameron Highland. Anda boleh membeli buah tangan dan cenderahati seperti t-shirt, pokok bunga, kaktus dan lain-lain untuk dibawa pulang.
Jika anda tidak tahu lokasi kedai makan atau restoran sedap di Cameron Highland, beli saja makanan di pasar malam ini dan makan di hotel atau apartment anda.
Pasar Malam Golden Hills Cameron Highland ini dibuka pada hari Jumaat dan Sabtu sahaja. Pada musim cuti sekolah ia dibuka setiap hari. Waktu operasi ialah dari pukul 4 petang hingga 11 malam.
#3 Ladang Teh Boh
Teh Boh cukup popular dikalangan para penggemar teh di Malaysia. Jika sebelum ini anda hanya menikmatinya dirumah, apa kata sesekali anda melawat tempat dimana ia dihasilkan.
Jangan bimbang kerana tempat ini memang menarik, tidak membosankan dan masuk adalah percuma. Antara tarikan yang ada ialah ladang teh yang menghijau, melawat pameran, galeri dan kilang teh.
Berbagai maklumat dikongsikan termasuk sejarah, peralatan dan proses penghasilan teh Boh. Selain itu terdapat cafe yang menyediakan kek dan pastri serta tidak ketinggalan teh Boh sendiri.
#4 Cactus Point
Di Cameron Highland, terdapat dua kebun kaktus yang popular iaitu Cactus Valley dan Cactus Point. Kedua-duanya berkonsepkan kebun bunga yang hampir sama.
Bezanya di Cactus Point, masuk adalah percuma. Disini anda boleh melihat dan membeli berbagai jenis kaktus dan pokok-pokok bunga lain.
#5 Green View Garden
Green View Garden merupakan salah sebuah ladang strawberi terbesar yang mempunyai lebih 20,000 pokok. Kawasan yang luas ini turut memuatkan taman bunga, taman haiwan, kolam dan cafe.
Sejujurnya, tempat ini memang menarik. Anda tidak perlu membayar tiket masuk untuk melawat ladang strawberi, taman bunga dan House of Lavender, dimana anda boleh menikmati pemandangan serta bergambar kenangan.
Anak-anak juga boleh bermain dengan arnab dan mengayuh paddle boat di kolam (berbayar). Selain itu, rekaan cafe yang unik, kawasan makan yang agak luas sangat selesa jika anda merancang untuk menjamu selera.
Berbagai produk tempatan dijual seperti strawberi, pokok bunga, buah-buahan dan sayur-sayuran.
#6 Kea Farm
Anda mesti datang ke Kea Farm pada waktu pagi untuk mendapatkan berbagai sayuran segar, buah-buahan dan bunga-bunga tempatan yang dijual dengan harga berpatutan.
Selain itu terdapat gerai menjual makanan yang boleh anda cuba. Antara yang terkenal ialah jagung manis, ubi rebus, cendawan goreng dan tidak ketinggalan strawberi coklat.
Selain pasar, ada beberapa tempat menarik yang boleh anda lawati disini seperti Kea Garden yang terletak dikawasan yang sama iaitu bersebelahan Kea Garden Guest House.
Anda tidak akan terlepas lokasi ini jika anda meronda seluruh pasar. Ia adalah taman bunga yang direka dengan cantik dan berwarna-warni. Melewati kawasan ini bagaikan berada dalam alam fantasi, cukup mengagumkan. Bayaran masuk RM1 dikenakan.
Jom Rancang Percutian di Cameron Highlands Bersama Keluarga
Sudah pasti Cameron Highlands adalah destinasi pelancongan terbaik untuk anda dan keluarga. Luangkan masa yang berkualiti bersama mereka yang tersayang dan menikmati erti percutian yang sebenar. Semoga artikel ini dapat membantu anda! Selamat bercuti!
Sumber : Percutian Bajet
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!