Kuantan merupakan ibu negeri Pahang yang sememangnya mempunyai daya tarikannya yang tersendiri. Sesekali bercuti bersama keluarga di Kuantan pasti memberikan satu pengalaman bermakna buat anda sekeluarga.
Lagi pun lebih jimat sekiranya kita bercuti di dalam negara dan juga kita menyahut kempen “Cuti-Cuti Malaysia” oleh Kementerian Pelancongan Malaysia. Ambil peluang ini untuk luangkan masa bersama keluarga anda terutamanya musim cuti sekolah ini.
Tempat Menarik di Kuantan Yang Harus Dilawati
Percutian selama 3 hari 2 malam sudah memadai untuk anda sekeluarga melawati 6 tempat menarik di Kuantan yang bakal kami kongsikan nanti. Jom ikuti perkongsian artikel ini seterusnya.
#1 Mini Zoo Teruntum

Anda tercari-cari tempat yang seronok untuk bawa anak-anak anda terokai di Kuantan? Bolehlah bawa mereka ke Mini Zoo Teruntum. Kawasan mini zoo ini mempunyai landskap yang menarik dan amat sesuai untuk aktiviti beriadah sambil melihat haiwan yang dipamerkan.
Terdapat banyak haiwan yang anda dan keluarga dapat saksikan di sini seperti burung unta, kancil, burung, buaya, arnab, burung merak, landak, seladang, pelanduk, ular, orang utan dan juga kura-kura gergasi. Malah, anda juga boleh menunggang kuda padi di sini dengan bayaran yang sangat minimal iaitu RM5 untuk 1 trip.
#2 Bukit Gambang Resort City

Jika anak-anak anda tidak gemar mandi sungai atau air terjun, jangan risau, kerana anda ada pilihan lain iaitu Gambang Water Park yang terletak di Bukit Gambang Resort City, Gambang. Ia merupakan taman tema yang lengkap bukan setakat dengan taman tema air sahaja, tetapi juga ada Safari Park yang menempatkan haiwan-haiwan seperti di zoo.
Taman tema air ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Coco Beach, Wave Pool dan Lagoon. Di setiap bahagian tersebut terdapat pelbagai aktiviti yang pengunjung boleh lakukan seperti Aqua Play, Giant Piranha, Tree Top Hill, Lane Racer, Canopy Slide, Family Raft Ride, ATV Ride dan banyak lagi.
#3 Pantai Teluk Cempedak

Pantai Teluk Cempedak cukup sinonim dengan daerah Kuantan. Bukan sekadar panorama yang cantik menyebabkan pengunjung sering memeriahkan pantai ini, tetapi juga kerana infrastruktur serta kemudahan yang terdapat di sini.
Terdapat kemudahan susur gajah yang menyusuri pesisir pantai ini untuk anda berjalan-jalan sepanjang pantai. Kedai cendarahati, gerai makanan, taman permainan, surau dan tandas disediakan untuk keselesaan para pengunjung. Malah di sekitar Pantai Teluk Cempedak juga terdapat banyak resort dan motel untukkemudahan pengunjung yang ingin menginap di sini.
#4 Natural Batik Village

Anda boleh mempelajari tentang bati dengan lebih dekat di Natural Batik Village yang terletak berdekatan dengan Pantai Balok. Di sini juga terdapat banyak kedai yang menjual cendera hati berasaskan lukisan corak batik untuk dibawa pulang sebagai buah tangan.
Pusat batik ini sering menjadi lokasi tumpuan ramai pengunjung kerana suasana kedainya yang mesra pelanggan dan produk yang dihasilkan amat berkualiti.
#5 Masjid Sultan Ahmad Shah

Masjid Sultan Ahmad Shah merupakan masjid negeri Pahang. Keluasan masjid Sultan Ahmad Shah ini mampu menampung kira-kira 10,000 orang jemaah dalam satu-satu masa, menjadikan ia sebagai masjid terbesar di negeri Pahang.
Nama masjid ini diambil bersempena nama pemerintah Pahang yang pertama iaitu Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah. Reka bentuk dalaman dan hiasan masjid yang bercirikan seni bina zaman Uthmaniah, seterusnya menjadikannya sebuah masjid yang sangat indah. Ukiran khat di sekitar dinding masjid juga menambahkan lagi seri masjid ini.
#6 Tanjung Lumpur

Nak cari tempat makan seafood yang sedap-sedap? Anda boleh ke Tanjung Lumpur untuk menikmati makan malam yang lazat. Anda hanya perlu pilih sahaja makanan laut mana yang ingin anda santap. Udang, sotong, ikan, semuanya segar-segar baru naik dari jeti.
Antara menu yang popular seperti sotong celup tepung dan ikan bakar. Banyak kedai makanan laut yang terdapat di Tanjung Lumpur ini, namun antara kedai yang sering menjadi tumpuan adalah Ana Ikan Bakar, Mail Ikan Bakar, Super Top dan banyak lagi.
Jom rancang percutian menarik bersama keluarga anda ke Kuantan, Pahang. Semoga artikel tempat menarik di Kuantan, Pahang ini dapat memberi manfaat dan inspirasi untuk anda. Selamat bercuti!
Sumber: Ammboi.com
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!