Perbezaan bahasa dan tulisan mungkin menjadi perkara pertama yang difikirkan apabila anda ingin bercuti ke Jepun.
Teknologi disana yang jauh ke hadapan dan kos sara hidup yang tinggi membuat kita berfikir banyak kali untuk melawat Jepun.
Disini saya himpunkan beberapa persediaan yang perlu di ambil sebelum travel ke Jepun.
10 Persediaan sebelum travel ke Jepun
1. Menyewa Pocket Wifi
Di mana sahaja anda pergi, pasti ini adalah perkara utama yang anda mahukan. Kerana dengan pocket wifi ini sahaja anda mampu untuk berhubung dengan keluarga dan kenalan anda di dalam dan luar negara. Jadi, adalah lebih baik jika anda menyewa pocket wifi yang boleh dibawa ke mana sahaja.
Dengan menggunakan alat ini, beberapa jenis alat komunikasi seperti smartphone, laptop dan tablet dapat dihubungkan secara serentak dengan data yang tiada had. Anda bebas menggunakan alat ini di mana sahaja.
Anda boleh menyewa pocket wifi ini di mana-mana lapangan terbang, dan memulangkan semula di lapangan terbang berkenaan. Untuk mendapat harga yang lebih murah, anda boleh menyewa lebih awal secara online sebelum memulakan perjalanan.
Terdapat beberapa jenama pocket wifi yang anda boleh sewa dari lapangan terbang. Antaranya ialah Roaming Man, Samurai Wifi, dan Travel Reccommends.
2. Perlu cetak alamat hotel anda dalam Bahasa Jepun
Tips ini sangat membantu anda di sana kerana rata-rata rakyat Jepun tidak mahir membaca dalam tulisan biasa, apatah lagi bercakap dan menulis.
Sekiranya terjadi perkara yang tak dijangka seperti telefon anda kehabisan bateri, anda hanya perlu tunjukkan alamat kepada penduduk tempatan dan minta tunjukkan arah jalan.
3. Insurans Perjalanan
Sebelum anda ke Jepun, pastikan ambil Insurans Perjalanan. Bayar sikit untuk jaminan jauh lebih baik daripada kena bayar kos yang sangat mahal di Jepun nanti.
Semua hospital di Jepun adalah swasta dan sangat mahal. Orang di kedutaan cukup pantang kalau dengar orang melancong tak ada insurans. Kita tidak tahu apa akan jadi semasa melancong ke sana. Jadi sebagai langkah berajaga-jaga kita haruslah memiliki Insurans Perjalanan.
4. Bawa ubat-ubatan
Ubat-ubatan asas macam panadol, minyak urut (nak urut kaki lepas jalan banyak) bawa lah sebagai persediaan. Kalau nak beli ubat kat sana pon boleh tapi agak mahal harganya. Sebagai persediaan, kita bawa siap-siap ubat ubatan yang asas.
Selalu awal-awal lepas dah sampai rasa berat sikit kepala sebab kita dah biasa dengan cuaca panas di Malaysia, tiba-tiba pergi tempat sejuk. Badan kita perlukan masa untuk sesuaikan diri dengan cuaca yang lebih sejuk.
5. Beli Kad Pasmo
Seperti yang kita tahu, orang Jepun lebih banyak menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri. Oleh itu,kemudahan pengangkutan awam seperti keretapi dan bas sangat meluas.
Untuk perjalanan yang banyak saya cadangkan anda menggunakan keretapi jarak dekat (termasuk subway dan metro area JR trains), anda perlu dapatkan kad Pasmo yang mana penggunaan kad ini seperti touch-and-go di Malaysia.
Kad ini membantu menjimatkan masa perjalanan kerana anda tidak perlu beratur panjang membeli tiket bagi setiap trip perjalanan. Anda hanya perlu menjaga kad ini dengan cermat sepanjang perjalanan anda.
Kad Pasmo boleh dibeli di mesin vending di semua stesen keretapi, stesen bas dan stesen subway. Pilihan untuk top-up kad Pasmo adalah antara 1,000 hingga 10,000 Yen dengan harga permulaan sebanyak 500 Yen.
6. Muat turun aplikasi Learn Japanese
Perbezaan bahasa merupakan satu kekangan untuk berkomunikasi dengan rakyat Jepun dengan baik. Tambahan lagi, rata-rata mereka tidak tahu atau kurang mahir berbahasa Inggeris.
Untuk memudahkan kita sebagai pelancong, adalah digalakkan untuk anda belajar terlebih dahulu asas bahasa Jepun seperti sumimasen (excuse me), arigatou gozaimasu (terima kasih) dan ucapan yang biasa akan kita guna di negara orang.
Banyak kemudahan di internet yang boleh kita gunakan untuk belajar asas bahasa mereka. Salah satunya adalah aplikasi Learn Japanese. Aplikasi ini menyediakan ucapan –ucapan yang biasa digunakan dalam komunikasi. Menariknya, anda boleh mendengar cara menyebut setiap perkataan dengan betul.
Adalah menjadi satu kelebihan sekiranya anda dapat berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa ibunda mereka kerana mudah untuk anda bertanya tentang arah jalan dan sebagainya.
7. Muat turun aplikasi Hyperdia
Pengangkutan seperti teksi adalah terlalu mahal di Jepun. Harga teksi akan meningkat pada waktu malam, bermula 10 malam sehingga 5 pagi. Ini kerana penggunaan pengangkutan awam seperti keretapi dihentikan pada waktu tersebut.
Jadi, adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai penunjuk arah yang betul.
Aplikasi ini adalah percuma untuk 30 hari pertama anda di sana. Setibanya anda di stesen ketibaan, aplikasi ini akan memaparkan masa, jarak, tambang perjalanan dan stesen pertukaran.
Kesemuanya ditunjukkan dalam Bahasa Inggeris termasuk landasan keretapi yang akan anda turun nanti. Jadual perjalanan adalah sangat tepat pada masanya, dan tidak akan menunggu anda walau seminit pun. Jadi, sila belajar tepati masa ya.
8. Tahu di mana tempat mendapatkan wang tunai
Di Jepun, sangat sukar untuk anda menggunakan mesin ATM yang dapat menerima kad asing walaupun anda di bandar besar seperti Tokyo.
Mesin ATM yang kebiasaannya menerima kad asing adalah di 7-Eleven, pejabat pos dan Citibank ATM. Anda perlu memastikan kad bank anda telah diaktifkan penggunaannya di luar negara oleh pihak bank. Atau anda boleh mengaktifkan kad bank anda sendiri melalui internet banking anda. Segalanya di hujung jari. Hehe.
9. Minta izin sebelum ambil gambar
Ambil gambar orang Jepun pula seeloknya minta izin dulu. Sebut ayat ni “ishouni syashin totte mo ii desuka” bermaksud bolehkah kita ambik gambar bersama? Kalau dia balas “hait” atau “iie” (baca : iyek) maknanya orang Jepun la tu. Hait maksudnya ok. Kalau dia blur, maknanya orang Jepun celup tengah pakai kimono, haha.
Dan, elakkan ambil gambar budak-budak Jepun. Dah terambil? Jangan post di media sosial pulak. Ni common sense bagi saya, terpulang kepada anda.
10. Eskalator
Ketika anda menggunakan eskalator di sana, dinasihatkan supaya anda berdiri di bahagian kiri (di Tokyo) jika anda bukan dalam keadaan tergesa-gesa dan nak cepat. Orang Jepun sangat pantas dan sentiasa ingin cepat lebih-lebih lagi pada waktu puncak. Oleh itu, laluan kanan eskalator biasanya dikosongkan untuk mereka yang ingin cepat.
Saya pernah ditegur oleh orang Jepun kerana menghalang laluan mereka sewaktu pertama kali di sana.
Tapi jika di Osaka, etika berdiri di eskalator adalah berlawanan. Jika tak nak cepat, kena berdiri di sebelah kanan dan beri laluan kepada orang yang sedang bergegas berjalan turun (atau naik) di atas eskalator di sebelah kiri.
Sumber Artikel: Vocket
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!