Anda pernah pergi ke Cherating, Pahang? Tahukah anda bahawa Cherating merupakan salah satu tempat untuk melihat api-api atau kelip-kelip di Pahang?
Cherating mempunyai pantai yang luas dan cantik, hutan paya bakau serta pulau yang cantik disekitarnya. Tak dinafikan banyak pelancong dari luar negara datang ke sini untuk bersantai dan berehat.
Apa Nak Buat Di Cherating, Pahang?
Terkadang kita terlepas pandang terhadap tempat menarik di negara sendiri. Jom kita kupas apa yang menarik untuk di buat di Cherating, Pahang.
Pulau Ular
Nak rasai pengalaman bersnorkelling? Mari beramai-ramai bergerak ke Pulau Ular. Untuk aktiviti bersnorkelling di sini, pastikan anda bertolak awal sebelum pukul 12 tengahari, kerana selepas sahaja pukul 12, ombak mula bergelora, terpaksalah anda lupakan niat snorkelling tu, tak ke sedih.
Tambahan lagi untuk ke Pulau Ular, perjalanan menaiki bot memakan masa sekitar 35 minit. Oleh itu, mulakan pagi anda sekeluarga dengan awal ya!
Warung Aziz Satar
Warung Aziz Satar adalah sebuah kedai yang sangat popular dalam kalangan penduduk setempat dan juga pengunjung yang datang dari jauh. Pendek kata, kedai ni umpama magnet manusia, sentiasa dipenuhi orang ramai.
Apa yang ada di warung ni sampai ramai sangat tergoda untuk datang? Di sinilah terjualnya satar yang boleh dikatakan antara yang tersedap di Terengganu. Harganya juga sangat murah.
Bukan sekadar satar, makanan dan minuman lain turut ditawarkan. Antaranya adalah seperti coconut shake, ketam bakar, sotong goreng, udang galah, pulut panggang, laksam, laksa dan macam-macam lagi. Yang penting, semua masakan lautnya sangat segar!
Bandar Chukai
Bandar Chukai adalah salah sebuah bandar di Terengganu yang terletak berdekatan dengan pelabuhan Kemaman. Bandar ini menawarkan antara tarikan yang paling mengujakan di Terengganu seperti Kelip-Kelip di Sungai Kak Yah dan aktiviti berkayak di Sungai Chukai.
Tidak jauh dari bandar ini juga terletaknya banyak kawasan pantai menarik yang kekal tenang daripada ‘serangan’ orang ramai dan daripada sentuhan pembangunan.
Dah puas makan angin? Anda boleh singgah ke Kedai Kopi Hai Peng untuk mengembalikan tenaga dengan menikmati kopi special yang tak cukup secawan lazatnya.
Kam’s Surf Shack
Kam’s Surf Shack menawarkan pelbagai aktiviti pantai menarik yang mesti anda dilakukan untuk menjadikan percutian anda sekeluarga di Cherating lebih bermakna.
Antara aktiviti lasak yang ditawarkan adalah seperti kite surfing, windsurfing, X-Sailing dan surfing.
Teringin untuk mencuba? Waktu yang terbaik untuk melakukan aktiviti ini adalah antara bulan Disember ke Januari.
Nak buat aktiviti yang lebih santai? Anda boleh menyewa stand up paddle ataupun kayak yang ditawarkan.
Pantai Chendor
Berlokasi di antara sempadan Terengganu dan Pahang, Pantai Chendor adalah antara destinasi wajib singgah di mana anda dapat bersantai bersama keluarga menikmati bayu laut dan merasai kehalusan pasir putihnya.
Di sini juga terdapat sudut air yang cetek untuk anda berdiri sambil berendam kaki. Lebih menarik sekiranya anda beli makanan terlebih dahulu untuk dinikmati sambil berkelah di tepian pantai dan menanti saat ketika matahari terbenam.
Di samping pemandangan matahari terbenam yang mempesonakan, terdapat juga kehadiran bot-bot nelayan yang memeriahkan lagi pemandangan di sekitar pantai.
Bagi yang bawa dslr tu, inilah masanya untuk anda memantapkan skill fotografi yang terpendam.
Nak tengok penyu bertelur? Datanglah pada waktu malam antara bulan April ke September, kalau bernasib baik, anda mungkin dapat menyaksikan fenomena ini berlaku di depan mata.
Pantai Marina Telaga Simpul
Pantai Marina Telaga Simpul adalah sebuah tarikan yang terletak dalam sekitar 9 km dari Bandar Chukai dan bertentangan dengan Kampung Kuala Kemaman.
Untuk ke sini, anda perlu menggunakan jalan yang berhadapan dengan Pengkalan Bekalan Kemaman atau Kemaman Supply Base.
Setibanya di kawasan pantai ini nanti, anda boleh berkelah sambil menikmati pemandangannya yang sungguh mendamaikan jiwa.
Mengenai fasilitinya, Pantai Marina Telaga Simpul lengkap dengan tandas, surau, pondok rehat, gerai makan dan taman permainan kanak-kanak.
Rimbun Dahan Turtle Hatchery
Rimbun Dahan Turtle Hatchery adalah pusat pemuliharaan dan penetasan penyu yang diusahakan di dalam sekitar kawasan Kasturi Resort sejak dari tahun 2013.
Pusat ini telah dibuka oleh Arrifin bin Hassan atau lebih dikenali sebagai Pak Su dengan menggunakan dana yang diberikan oleh pemilik resort dan juga sumbangan daripada rakan dan orang ramai.
Pada tahun 2014, pusat penetasan ini telah membeli sebanyak 6000 telur penyu dan pada tahun 2015 pula sebanyak 5000 biji telur untuk ditetaskan.
Telur-telur penyu ini ditanamkan dan diberikan perhatian sehingga mula menetas. Pengunjung yang datang dapat melihat suasana ketika mana anak-anak penyu yang kecil ini dilepaskan ke lautan.
Pantai Cherating
Inilah dia destinasi paling terkenal di Cherating. Berdekatan dengan pantai ini terdapat banyak chalet-chalet yang agak instagrammable.
Syok juga tinggal di chalet ni kalau berada di Cherating sebab tak akan ada sesaat pun anda akan buang dengan perkara membosankan sebab sangat banyak aktiviti air menarik yang boleh dilakukan.
Nak belajar surfing? Berkayak? Dan macam-macam lagi, semuanya boleh diatur di sini.
Sungai Yah-Yah
Teringin nak tahu bagaimana rasanya kalau bintang ada di sekeliling dan bukan di atas awan?
Kalau macam tu, jom ke Sungai Yah-Yah, di sinilah anda dapat melihat habitat kelip-kelip yang terbesar di Malaysia! Cahaya ‘bintang’ dari kelip-kelip tak kurang hebatnya, sungguh mempesonakan.
Kalau anda nak rasai pengalaman ini, bila waktu dah mulai gelap, anda sewa bot yang terdapat di jeti Sungai Yah-Yah.
Waktu terbaik untuk melihat cahaya kelip-kelip ini adalah dari bulan Julai hingga Oktober sebab pada waktu ini kelip-kelip membiak dengan banyak sekali.
Bayangkanlah pemandangannya pada waktu ini, satu keindahan yang sukar untuk dilupakan. Bukan selalu dapat naik bot, dikelilingi gemerlapan cahaya kelip-kelip pula tu, macam di alam fantasi!
Sungai Cherating
Selain Sungai Yah-Yah, untuk melihat gemerlapan cahaya kelip-kelip, anda juga boleh singgah ke Sungai Cherating.
Apa salahnya pergi ke dua-dua tempat kan, dapatlah anda sekeluarga menikmati ‘pelayaran’ magikal di malam hari bukan sekali tapi dua kali.
Untuk menikmati keindahan cahaya semula jadi di Sungai Cherating ini, anda boleh mendapatkan pakej ini dari banyak hotel berdekatan.
Mangrove Tour
Pada waktu malam, Sungai Cherating terkenal dengan aktiviti melihat cahaya indah kelip-kelip, tapi pada waktu siang pula anda dapat boleh melihat keindahan kawasan bakau sungai ini dengan lebih jelas.
Keindahan hidupan liar dan pokok-pokok paya bakau di sini sangat mengujakan. Satu pengalaman yang sangat berharga untuk anda sekeluarga nikmati.
Kalau anda tertarik untuk melihat keindahan alam semula jadi ini, anda boleh sertai pelayaran dengan bot di bawah Hafiz River Mangrove Cruise. Setiap saat anda di atas bot ini pasti tidak dapat dilupakan.
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!