Pakaian yang sesuai amat penting sebelum kita pergi melancong. Untuk yang pertama kali ke negara 4 musim seperti Jepun, antara persediaan yang mungkin sedikit merisaukan adalah tentang pakaian.
Kurangnya persediaan pakaian yang sesuai mungkin akan menyebabkan anda terpaksa berbelanja lebih sedikit untuk membeli pakaian tambahan setibanya di Jepun. Jadi untuk menjimatkan kos, anda perlu membuat research terlebih dahulu mengenai musim dan apakah pakaian yang sesuai dipakai pada musim tersebut.
Jenis Pakaian Sesuai Jika Melancong Ke Jepun
Kali ini kami akan kongsikan berkenaan pakaian mengikut musim di Jepun. Semoga artikel ini dapat membantu anda memilih pakaian yang sesuai untuk ke Jepun nanti.
1. Musim Panas

Jika anda merancang untuk melancong ke Jepun pada musim panas, persediaan daripada segi pakaian tidaklah membebankan. Ini kerana suhu di Jepun pada musim panas adalah lebih kurang sama seperti di Malaysia.
Bagi lelaki, memadai t-shirt atau kemeja biasa dipadankan dengan seluar yang sesuai. Bagi wanita, t-shirt atau blaus yang mempunyai pengaliran udara yang baik amat digalakkan.
Jika anda banyak terlibat dengan aktiviti di luar, elakkan memilih warna yang gelap seperti hitam kerana pada musim panas cahaya mataharinya agak terik. Warna yang gelap akan memerangkap haba dan menyebabkan badan anda menjadi lebih panas.
Elakkan memilih baju yang material tebal dan yang tidak dapat mengalirkan udara dengan baik. Pemilihan pakaian yang silap akan menyebabkan anda rasa tidak selesa sepanjang hari.
Walaupun musim panas, bawalah 1 jaket untuk kegunaan ketika dalam penerbangan. Ini kerana suhu dalam kapal terbang mungkin agak sejuk jika penerbangan anda pada waktu malam.
2. Musim Bunga dan Musim Luruh

Bagi musim bunga dan musim luruh, suhu purata tidaklah mencecah sehingga 0 darjah celcius. Tetapi harus diingat, pada waktu hujan, suhu mungkin mencecah sehingga 5 darjah celcius.
Untuk musim ini kami sarankan anda memakai jaket atau sweater ketika berjalan-jalan di luar. Pilihlah baju di bahagian dalam yang sedikit tebal bagi mengelakkan anda kesejukkan. Untuk pilihan seluar, jeans antara pilihan terbaik kerana tekstur kain yang tebal.
Pilih kasut yang kalis air kerana ada ketika hujan turun sepanjang hari. Kasut yang basuh boleh menyebabkan anda tidak selesa dan rimas.
Sarung tangan atau muffler tidaklah merupakan satu kemestian. Tetapi bagi yang tidak tahan dengan cuaca sejuk, boleh pertimbangkan pilihan tersebut.
3. Musim Sejuk

Untuk musim sejuk, baju sejuk tebal merupakan satu kemestian. Jangan bergantung kepada jaket atau sweater biasa kerana ianya tidak mampu menahan asakan angin sejuk. Pilihlah baju sejuk yang dibuat daripada material yang berkualiti dan tahan lasak.
Pakaian di dalam pilihlah pakaian yang berkain tebal. Jika anda tidak tahan kepada cuaca sejuk, mungkin boleh pertimbangkan memakai ‘long john’ di bahagian dalam baju bagi memerangkap haba.
Sediakan sarung tangan dan muffler bagi membantu anda menahan asakan angin sejuk. Pilih seluar dari kain yang tebal seperti jeans dan gunakan kasut yang kalis air. Keadaan akan menjadi lebih sejuk jika hujan turun pada hari tersebut.
Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda memeriksa cuaca pada hari tersebut. Hal ini kerana hujan di Jepun kadang kala turun sepanjang hari. Pemilihan pakaian dan kasut yang tidak sesuai akan menyebabkan mood melancong anda terganggu. Semoga percutian anda dapat memberikan 1001 kenangan yang manis buat anda yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.
Sumber: Trip Jepun
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!