Teringat semula percutian di Royal Belum sebelum ini. Kali ni baru ada kesempatan nak bercerita. Beberapa tahun lepas ada trip ke Royal Belum 3 hari 2 malam. Terdiri dari 30 orang kesemuanya.
Percutian 3 Hari 2 Malam Boathouse Royal Belum, Perak
Hutan Belum ni terletak di utara hujung Perak, senang cakap Hulu Perak la. Daerah Perak yang paling hulu iaitu terletak di Gerik. Luas kawasan bagi hutan simpanan ini dilaporkan meliputi seluas 290, 000 hektar.
Tasik Temenggor adalah empangan menjana kuasa eletrik hidro di Utara Perak yang siap di bina pada tahun 1974. Di bahagian tengah Tasik Temenggor ada sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Banding atau Tasik Banding.
Hari Pertama
Trip kali ni kami naik ke bahagian atas Tasik Temenggor iaitu hutan Belum. kami bertolak dari Selangor lebih kurang selepas subuh dan berkumpul di RNR Simpang Pulai untuk bersarapan bersama. Kemudian kami meneruskan perjalanan terus ke Jeti Aman Jaya di Pulau banding.
Tempat letak kereta di sini adalah berbayar sebanyak RM15 untuk 3 hari 2 malam untuk sebuah kereta. Di Jeti Aman Jaya ini, ada kedai runcit, kedai serbaneka dan juga restoran yang beroperasi dari pagi sehingga lewat malam.
Untuk ke Royal Belum, guide kami telah mendapatkan permit dari kaunter Taman Negara Hutan Belum di Jeti Aman Jaya yang berharga RM15 untuk seorang. setelah selesai memunggah barang dari kereta dan membeli jajan, kami naik ke rumah bot yang telah berlabuh di bahagian bawah jeti.
Taklimat perjalanan diberikan oleh ketua trip dan guide untuk menerangkan hala tuju dan soal keselamatan semasa trip berlangsung. Bot kami pun bertolak ke Royal Belum menuju ke destinasi pertama iaitu Air Terjun Kooi.
Perjalanan mengambil masa selama 2 jam dengan rumah bot. Kami sampai dan bersiap untuk easy hiking mencari bunga pakma atau nama lain nya Raflesia. Tahukah anda, terdapat 10 jenis raflesia boleh ditemui di Hutan Belum berbanding dengan 8 jenis di Sabah dan Sarawak?
Setelah itu, kami bergerak ke air Terjun Kooi untuk berehat dan mandi manda. Air sungainya sejuk seperti baru keluar peti ais, sangat menyegarkan dan indah.
Kemudian, kami naik semula ke rumah bot untuk makan tengahari dan bergerak ke perkampungan orang asli.
Untuk pengetahuan semua, kami telah mengumpulkan sedikit barangan asas untuk diberikan kepada penduduk Kampung Alam Damai iaitu Orang Asli yang tinggal berhampiran dengan Tasik Temenggor ini.
Sungai Tiang merupakan destinasi terakhir untuk perjalanan hari pertama kami, rumah bot berlabuh ditepi sungai dan kami pun bersantai disini. Ada rakit buluh yang disediakan bersama dengan jaket keselamatan di atas bot.
Aktiviti bebas petang tu kami isi dengan mandi manda di sekitar bot, memancing dan berehat. Beralih ke waktu malam, kami berkaraoke, dan menonton movie bersama.
Memandangkan line telefon tiada, kami hanya mampu bergambar bersama dan menunggu sehingga waktu pulang untuk upload segala aktiviti kami sepanjang 3 hari 2 malam diatas rumah bot.
Hari Kedua
Sarapan yang disediakan sangat sedap oleh kru boat. Nasi lemak sambal ayam, fuuh, bersandar kami lepas makan. Bagi yang bawa joran, lepas subuh dah terpacak masing2 sekeliling rumah bot mencari nasib ikan sekor dua. Ada juga yang bangun pagi untuk mandi di sungai Tiang dan berakit pusing tasik.
Sebelum matahari terpacak di atas kepala, kami bergerak ke Perkampungan orang Asli untuk melawat dan menyampaikan sumbangan ikhlas kami. Kemudian kami beralih ke Air Terjun Ruok untuk bersantai disana.
Dalam perjalanan kami ke Ruok, kami telah terserempak dengan seekor gajah yang sedang berenang di tasik. Ini adalah satu pengalaman yang sangat unik dan berharga kerana kami tidak pernah melihat perkara seperti ini de depan mata kami.
Usai kami berseronok di Air Terjun Ruok, kami kembali ke rumah bot dan bersiap untuk BBQ dinner malam itu. Selepas menunaikan solat maghrib, kami membakar ayam, daging, kambing dan ikan untuk santapan semua pada malam itu.
Malam yang panjang dengan makanan yang sedap, sesi karaoke dan memancing, semua nya menjadi kenangan indah buat kami semua. Ada juga diselitkan dengan permainan karom, dam haji, chess, dan juga cerita tentang kejadian Tasik Temenggor oleh kru bot.
Siapa sangka dahulunya terdapat perkampungan orang melayu di dalam hutan Belum yang lengkap dengan sawah padi, ladang sayuran, rumah-rumah yang akhirnya terpaksa ditinggalkan kerana terlalu jauh dan tidak sesuai diduduki setelah empangan Temenggor siap ketika itu.
Malam pun berlabuh dan kami pun berehat malam itu dalam keadaan hujan renyai turun di tengah malam.
Hari Ketiga
Pagi yang agak sejuk buat kami kerana hujan malam sebelumnya. Dengan ketiadaan nyamuk, kami tidur selenanya dibuai mimpi dan dikejutkan dengan suhu yang rendah di pagi subuh.
Berbekalkan sarapan air milo, bihun goreng serta biskut, kami bergerak ke Pusat Pemuliharaan Kelah. Disini kami dapat mandim berenang dan memberi ikan kelah makan.
Jinak sungguh ikan-ikan disini, mungkin kerana sudah terbiasa dengan kehadiran pengunjung ke sini.
Kami juga diberi taklimat sedikit sebanyak mengenai ikan kelah dan kepentingan memulihara spesis ikan ini. Tahukah anda bahawa ikan Arapaima adalah ikan pemangsa yang dilepaskan ke tasik Temenggor secara sengaja dan telah memakan banyak ikan di tasik ini?
Puas kami berjimba, kini masa untuk pulang ke jeti Aman Jaya. Perasaan sedih dan hiba tatkala mengenangkan masa kami di sini telah tamat.
Detik-detik line telefon mula ada, telefon pintar mula dimasuki banyak notifikasi dan mula sibuk sehingga lupa trip ini akan berakhir.
Setibanya di jeti, bot berlabuh dan kami bergambar buat kali terakhir beramai-ramai di bahagian hadapan rumah bot.
Tanpa kami sedari, sebuah memori telah tercipta bersama dan banyak kenangan indah telah kami lalui.
Berminat dengan Trip Royal Belum? Hubungi kami melalui whatsapp/call 0177331482 sekarang!
Trip tebaik di Malaysia
Minimum number of visiters in group. cost per person.
I went on 10/12/2022 until 12/12/2022. All went well from booking until we went up the boat. The sales person was very fast & efficient in whatsapp. Replying messages was really fast.