Pernah tak korang dengar pasal Empangan Temenggor atau Tasik Temenggor? Kalau korang ada lalu kat Highway Gerik-Jeli, korang mesti akan lalu atas dua jambatan.
Sebenarnya, kat bawah itulah Empangan Temenggor yang membentuk Tasik Temenggor. Fungsi utama empangan ni dibina adalah untuk jana kuasa elektrik selain dari jadi kawasan takungan air.
Tasik Temenggor, Royal Belum Dan Sejarah Disebaliknya
Sebenarnya, banyak empangan yang ada di Malaysia ni dan antara yang selalu kita dengar adalah macam Empangan Bakun, Empangan Kenyir, Empangan Pergau , Empangan Gemencheh dan banyak lagi.
Tasik Temenggor menyimpan sejarah yang penting ketika pembentukan Malaysia. Sejarahnya mungkin kecil tapi peranannya mungkin mengubah haluan masa. Mari kita kupas cerita disebalik hutan Royal Belum ini.
Hutan Belum dan Komunis
Belum – Temenggor adalah salah satu kompleks perhutanan terbesar yang ada kat Malaysia. Kedudukan hutan ni bersempadan dengan Thailand dan berada dalam jajahan negeri Perak.
Difahamkan, saiz hutan ni 300 ribu hektar, iaitu empat kali ganda lebih besar dari Singapura!
Walaupun macam tu, hanya Hutan Royal Belum yang dah diiktiraf sebagai hutan simpan kekal, tapi hutan Temenggor masih lagi terdedah dengan aktiviti hutan macam pembalakan.
Dengan saiz yang empat kali ganda lebih besar dari Singapura ni, dah tentunya hutan ni menyimpan banyak khazanah alam yang mungkin ada antara kita sendiri masih tak tahu.
Selain tu, hutan ni juga menyimpan sejarahnya tersendiri, bila tentera Jepun jadikan hutan ni sebagai laluan diorang dari Kota Bahru Kelantan masa Perang Dunia Ke-2 (WW2).
Lepas WW2, masalah lain pulak muncul bila negara berdepan dengan ancaman komunis.
Disebabkan kedudukan hutan ni bersempadan dengan Thailand, maka ia dah jadi tempat persembunyian gerila-gerila komunis di Tanah Melayu seterusnya Malaysia (1963).

Pada tahun 1949, pihak British dah minta semua penduduk Kampung Belum Lama untuk pindah dan kosongkan hutan tu.
Kawasan Belum lepas tu dikenali sebagai kawasan hitam dan orang awam tak dibenarkan masuk ke kawasan tu.
Lepas merdeka sampailah ke zaman Tun Razak jadi PM, komunis masih lagi ada dan menyorok kat kawasan tu.
Jadinya, pada tahun 1974 Tun Razak dapat idea nak hapuskan komunis, tapi dalam masa sama bagi manfaat kepada penduduk Perak.
Cadangannya ialah kita buat empangan kat kawasan tu untuk jana kuasa elektrik, kawasan takungan air dan hapuskan komunis.
Caranya “Bila kawasan ini diempangkan, secara tidak langsung laluan tikus dan laluan rahsia komunis terbenam. Bila telah terbenam, komunis bertabur lari balik ke Thailand.” – Wan Rashdi Wan Ibrahim, Ahli Exco Pulau Banding Development.
Hasil dari pembinaan empangan ini, maka terbentuklah Tasik Temenggor seluas 15,200 hektar dan Pulau Banding (kira-kira 243 hektar) yang kita dapat tengok sekarang ni.

Tapi masa empangan ni dibuat, banyak pertempuran yang jadi antara pihak keselamatan dengan komunis. Sampaikan, ada anggota keselamatan yang terkorban.
Ini termasuk helikopter Nuri yang ditembak jatuh ketika sedang menghantar anggota tentera dan bekalan makanan ke kawasan operasi menyebabkan 11 orang terbunuh termasuk juruterbangnya pada 27 April 1976.” – Dipetik dari Berita Harian.
Walaupun macam tu, dengan adanya Empangan Temenggor, kekuatan komunis mula menurun dan ancaman komunis mula berkurang.
Sampailah pada tahun 1989, bila berlakunya Perjanjian Damai Hat Yai antara kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya (PKM). Dengan itu, tamatlah pemberontakan komunis di Malaysia.
Hutan Hujan Tropika Paling Tua di Dunia
Sebenarnya ramai lagi masih tak tahu, yang umur Hutan Belum-Temenggor dah pun mencecah 130 juta tahun. Dengan itu, hutan Belum – Temenggor ni lebih tua dari hutan Amazon dan Congo.
Menurut Andrew Sabastian, dari Ecotourism & Conservation Society of Malaysia (ECOMY) – hutan Belum-Temenggor boleh diiktiraf sebagai hutan hujan tropika paling tua di dunia dan ia lebih tua dari Taman Negara.
Dalam masa sama, hutan ni juga simpan pelbagai khazanah alam yang mesti akan buat kita semua terbeliak mata.
Antaranya adalah terdapat lebih dari 3,000 spesies flora (termasuk 64 spesies paku-pakis, 62 spesies tumbuhan berlumut), 23 jenis ikan sungai, 14 spesies terancam dan 3 spesies rafflesia kat hutan ni.
14 spesis terancam tu adalah macam – Harimau Malaya, Harimau Dahan, Kucing Batu, Beruang Matahari, Gajah Asia, Ungka Tangan Putih, Tapir, Seladang, Siamang dan banyak lagi.
Apa yang lagi menarik, spesies Burung Enggang kat hutan ni lebih banyak dari apa yang ada kat Sarawak!
“Tasik Temenggor, Royal Belum dan Temenggor adalah rumah kepada10 jenis (Burung Enggang) yang boleh didapati di Malaysia. Borneo hanya ada 8 spesies.” – Endrew Sabastian, CEO ECOMY.

Selain tu, hutan ni juga ada tiga spesies rafflesia yang satu di antaranya dinamakan sebagai Rafflesia azlanii. Rafflesia ni dapat nama bersempena dengan nama Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
“Rafflesia lazimnya tumbuh di kawasan lereng bukit dan jenis tumbuhan sensitif yang mudah ‘merajuk’ jika diganggu terutama akar perumah serta kelopaknya tidak boleh disentuh kerana ia akan layu dan mati serta tidak tumbuh lagi.” – Noor Asmah Mohd Nawawi, Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP).
Ikan Kelah dan Penawar Diabetes
Seperti mana yang diceritakan tadi, banyak haiwan kat hutan ni yang semakin terancam dan hampir pupus. Selain dari harimau, tapir dan gajah, ikan pun tak terlepas dari ancaman dan salah satunya adalah ikan kelah.
Menurut kajian Pulau Banding Rainforest Research Centre (PBRRC), populasi ikan kelah kat kawasan Belum-Temenggor semakin berkurangan dan berdepan ancaman.
Sebab itulah, usaha pembiakannya kembali giat dijalankan. Walaupun macam tu, masih ada cabaran untuk membiakkan kelah.
“Ikan ini survival rate-nya dari ketika telur menetas,yang hanya boleh terus hidup cuma 10 peratus sahaja dari keseluruhan jumlah telur yang menetas. Bayangkan? Ikan kelah, untuk setiap ekor, ia hanya boleh melepas maksimum 4 ribu telur dan untuk matang ia perlukan masa dua tahun atau dua kilo.” – Mohd Syaiful, Pegawai Penyelidik PBRRC.
Antara sebab kenapa ikan kelah ni semakin pupus adalah sebab permintaannya yang tinggi. Menurut Syaiful, sekarang ni harga ikan kelah boleh mencapai RM200 – RM300 sekilogram untuk yang dah mati.
Manakala, yang hidup pulak boleh mencecah RM400 ke RM800 sekilogram.

Buat masa sekarang, ikan kelah dilindungi oleh dua akta iaitu Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 dan Akta Perikanan Darat Perak 1992. Jadinya, sesiapa yang memiliki ikan ni boleh didakwa dan didenda.
Selain dari memulihara hidupan terancam, pusat penyelidikan ni juga menjalankan ekspedisi mencari khasiat tumbuhan-tumbuhan yang ada.
Antara yang diorang dapat jumpa adalah satu pokok penawar bernama pokok sembelit merah darah atau nama saintifiknya, rourea minosoides.
“Mengikut kajian dari seorang profesor UiTM, pokok ini sesuai untuk menyembuhkan penyakit diabetes. Selain itu, banyak lagi tumbuh-tumbuhan lain seperti tongkat ali, kacip fatimah dan sebagainya yang boleh dikaji selidik.” – Dato’ Dr Abdul Rasyid Malik, CEO PBRRC.

Tapi, tanpa adanya pihak yang sedar dan mahu menjaga alam semula jadi di Belum-Temenggor, khazanah yang disimpan ini dah pasti akan disia-siakan.
Pembangunan Pulau Banding Oleh EMKAY
Semuanya bermula pada awal tahun 2005, bila Kumpulan EMKAY dijemput oleh kerajaan negeri Perak untuk membangunkan Pulau Banding.
Jadinya, EMKAY cuba membangunkan Pulau Banding sebagai pintu masuk utama ke hutan Royal Belum.
Tapi, EMKAY masa tu tak boleh buat sesuka hati sebab kawasan ni dikenal pasti sebagai Kawasan Sensitif Persekitaran (ESA) tahap 1.
“Jadinya Tan Sri (Mustapha Kamal) meminta saya dan beberapa rakan ketika itu mencari beberapa NGO seperti Malaysian Nature Society (MNS) dan World Wide Fund for Nature (WWF). Begitu juga pihak media, seperti Datuk Kadir Jasin, agensi pelancongan antarabangsa, pihak berkuasa tempatan dan semua pihak berkaitan. Kami berkampung di sini dan berbincang.” – Wan Rashdi Wan Ibrahim, Ahli Exco Pulau Banding Development.
Melalui pertemuan selama tiga hari tu, diorang ni semua diminta untuk senaraikan segala harapan dan segala kerisauan diorang kalau EMKAY membangunkan Pulau Banding ni.

Maka masa itu jugalah terciptanya Piagam Pulau Banding.
Antara isi piagam tu, EMKAY kena menghormati persekitaran Pulau Banding dan apa saja pembangunan tak boleh dibuat secara sesuka hati.
Selain tu,piagam ini juga membawa kepada pembentukan Yayasan Pulau Banding dan pembinaan pusat penyelidikan (seperti diceritakan di awal tadi).
“Misi dan visi Yayasan Pulau Banding adalah untuk menengahkan hasil pencarian melalui ekspedisi khazanah-khazanah untuk manfaat umat manusia. Sama ada apa yang diketengahkan itu setelah dijumpai pergi ke industri farmasi, ke universiti, ke masyarakat dan ke mana sahaja.
Tan Sri Mustapha optimis penyakit seperti barah payu dara, leukemia dan segala banyak penyakit, penawarnya ada di dalam (hutan Belum-Temenggor).” – Wan Rashdi Wan Ibrahim.
Selain tu, yayasan ini juga bagi tumpuan dalam usaha konservasi haiwan yang hampir pupus macam ikan kelah, tapir dan sebagainya.
Masa Hadapan Royal Belum
Seperti mana yang kita baca dan dapat tahu, hutan Belum-Temenggor menyimpan pelbagai khazanah – alam, budaya, mahupun sejarah. Siapa sangka Malaysia ada hutan hujan tropika tertua di dunia?
Makanya, usaha Kumpulan EMKAY dan Yayasan Pulau Banding dalam menjadikan Royal Belum sebagai tempat ekopelancongan lestari sangat dipuji.
Sementara Royal Belum diiktiraf sebagai hutan simpan kekal, Hutan Temenggor pula masih lagi diancam dengan aktiviti pembalakan.

Selain tu,masih ada lagi laporan tentang pemburuan haram yang jadi di kawasan Royal Belum. Menurut Wan Rashdi, pihak yayasan sehingga sekarang masih berusaha – supaya segala aktiviti pembalakan di Belum-Temenggor dihentikan.
“Ia mengambil masa 50 tahun untuk menanam pokok, tetapi hanya mengambil masa 5 minit untuk menebangnya. Makanya, kita di satu sudut ingin menwarwarkan, kalau Sabah boleh memberhentikan aktiviti pembalakan dan memperhebatkan aktiviti pelancongan, mengapa kita tidak?” – Wan Rashdi Wan Ibrahim
Makanya, ia sekali lagi bergantung kepada kesedaran umat manusia (kita sendiri) dalam menjaga dan menghormati alam semula jadi.
Pihak kerajaan juga sebelum ni berusaha nak jadikan Royal Belum sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Jadinya, kepada sesiapa yang ada rasa kesedaran nak melindungi alam semula jadi, khususnya kat hutan Belum-Temenggor, korang jadilah Belum Forest Friends (BFF). Pendaftaran boleh dibuat kat www.brainsfeed.org.
Kita tak mahu anak cucu kita nanti hanya melihat harimau, tapir, pokok cengal dan ikan kelah dari skrin gadget semata-mata.
Nak tahu serba serbi pasal Royal Belum? Banyak lagi sebenarnya kisah disini. Korang kena datang sini, jumpa orang sini baru dapat tahu ceritanya.
Nak pakej boathouse? 2hari 1malam? 3hari 2malam? Nak 4h3m pon boleh je. Kita boleh adjust BBQ sekali tau. Nak memancing pun boleh. Whatsapp je 0147206093 untuk harga dan info.
Kredit dan artikel diolah semula dari SOSCILI.MY
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!