AirAsia akan mula mengutip kenaikan Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC) yang dikenakan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkuat kuasa 9 Ogos 2019 ini.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata pihaknya berbuat demikian sebagai ‘bantahan’ berikutan keputusan mahkamah baru-baru ini.
Kadar Tambahan RM23 Dikenakan Kepada Penumpang
AirAsia kini akan mula mengutip kadar tambahan RM23 bagi PSC dan perbezaan jumlah tersebut akan dipaparkan secara jelas dalam jumlah tambang sebagai PSC (Dalam Bantahan)
PSC atau cukai lapangan terbang adalah caj yang dikenakan MAHB kepada penumpang yang menggunakan kemudahan lapangan terbang dan dikutip oleh syarikat penerbangan seperti AirAsia bagi pihak pengendali lapangan terbang.
MAHB telah mengenakan PSC baharu sebanyak RM73 kepada penumpang yang menggunakan KLIA2 ke destinasi-destinasi di luar ASEAN, kadar sama dikenakan untuk terminal perkhidmatan penuh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) – berkuatkuasa Julai 2018.
AirAsia berkata pihaknya enggan mengutip kadar baharu itu yang lebih tinggi daripada RM50 sebelum ini bagi memastikan perjalanan udara kekal berpatutan untuk semua.
Mahkamah Tinggi pada bulan lepas memutuskan syarikat penerbangan tambang rendah itu perlu membayar RM40.6 juta kepada MAHB selepas enggan mengutip caj berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia Riad Asmat menjelaskan dengan memaparkan tambahan PSC itu, 5.5 juta tetamunya yang berlepas dari KLIA2 untuk ke destinasi-destinasi luar ASEAN pada setiap tahun akan dapat menilai sendiri sama ada jumlah yang dibayar itu setimpal dengan kemudahan di KLIA2 yang berkualiti rendah.
Beliau juga percaya ramai akan bersetuju ia tidak berbaloi untuk membayar caj yang sama bagi terminal tersebut berbanding KLIA yang lebih mewah dan selesa.
Sementara itu, CEO AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata pihaknya terpaksa mengutip tambahan RM23 itu kerana tidak mampu untuk terus memberi subsidi kepada tetamu jika rayuan mereka akhirnya tetap tidak diterima di mahkamah.
Benyamin Ismail juga menjelaskan bahawa mereka sesungguhnya keberatan untuk mengutip kenaikan cukai ini dan bersimpati terhadap tetamu. PSC bagi penerbangan ke destinasi di luar ASEAN telah naik lebih dua kali ganda dalam masa kurang dua tahun daripada RM32 kepada RM73. Ini kenaikan melampau dan mereka akan terus membantah menerusi semua saluran undang-undang.
No comment yet for this article. Be first to leave a comment!